Apabila kita menyayangi seseorang atau sesuatu benda, amat sukar bagi kita melepaskanya apatah lagi melupakanya. Kita harus menerima hakikat yang kita perlu membebaskanya untuk meneruskan kehidupan, namun tanpa kita sedari ianya menjadi lebih sukar sehingga ianya melemaskan kita. Kita akan lebih hanyut dibawa emosi yang tidak ketentuan sehingga kita tidak dapat menerima atau merasai cinta lain selain bekas pasangan kita. Ini bermakna kita tidak melakukan proses pembebasan cinta pasangan kita dengan sempurna.
Mungkin anda pernah terdengar cerita mengenai si suami atau isteri yang masih berhubungan sulit dengan kekasih lama atau mungkin kekasih barunya mirip wajah kekasih lamanya. Maksudnya, si suami, isteri atau pasangan kita masih merindui kekasih lamanya, samada ianya berkait dengan wajah, sifat atau perwatakannya. Ini bermakna beliau tidak melalui proses pembebasan cintanya ini dengan sempurna.
Seni membebaskan cinta pasangan kita memerlukan skil yang tinggi. Ianya agak sukar namun amat berkesan kerana dengan cara ini ianya akan membebaskan kita dari kesengsaraan akibat ketagihan cintanya. Ianya juga dapat memperbaiki serta membuka hati kita untuk merasai dan menerima cinta orang lain. Dengan melalui proses pembebasan cinta yang sempurna, kita dapat menikmati cinta baru dengan perasaan yang lebih hebat, seolah-olah ianya kali pertama kita bercinta. Bayangkan betapa pentingnya proses ini dilakukan sebelum kita memulakan hubungan baru.
Proses pembebasan cinta harus dimulakan dengan cara yang unik dimana kita harus mengikut arus perasaan kita. Iaitu dengan mengingati dan menghayati cinta yang diberi olehnya. Kenangan manis dan indah bersamanya. Ingati betapa dalamnya cinta anda, sayang anda padanya, betapa anda mendambakan cintanya, hadiah darinya yang membuat anda merasa amat bermakna atau harapan anda agar dia kembali semula.
Dengan cara ini anda meratapi pemergian pasangan anda dengan lebih sempurna. Mungkin ianya agak sukar pada permulaan dimana ianya akan membuatkan anda merasa lebih sedih namun ianya juga akan menimbulkan pelbagai perasaan lain seperti marah, bimbang serta duka. Ianya memang menyakitkan kerana kita perlu menyelami emosi ini namun dengan cara ini anda sedang meratapi perpisahan ini dengan sempurna. Keperitan yang dirasai hanyalah sementara.
Untuk menyembuhkan kecederaan hati, anda perlu menghadapi serta menyelami kesakitan emosi yang anda rasai terlebih dahulu. Proses penyembuhan ini berlaku secara semulajadi tanpa kita sedari. Apabila kita terus membiarkan fikiran kita mengingati pasangan kita, kita sebenarnya membebaskan diri kita dari ketagihan cintanya seterusnya menerima hakikat perpisahan itu.
Didalam sesuatu agama atau budaya masyarakat, tedapat pelbagai cara bagi memperingati perpisahan seperti bersembahyang, berdoa, membaca surah yassin bagi masyarakat Islam. Bagi masyarakat Cina pula berbaju hitam, berkabung selama 40 hari dan sebagainya. Secara praktikal ia membantu kita dalam meringankan kedukaan yang dirasai. Bagi sesuatu perpisahan akibat perceraian atau putus hubungan, teori ini boleh diguna dan dicipta dengan cara yang lebih kreatif seperti meletak bunga pada gambar pasangan, memakai baju berwarna gelap untuk beberapa hari, menyalakan lilin dan sebagainya namun lakukan ia dengan cara yang positif bagi menimbulkan perasaan sayang terhadap bekas pasangan anda. Dengan cara ini kita memberi peluang kepada hati kita untuk sembuh dengan lebih sempurna. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment