Diantara banyak perkara yang menyakitkan kita, kesakitan kerana kehilangan cinta dan sayang sebenarnya yang paling menyakitkan. Ia boleh membuat kita sengsara dan boleh mengubah pemikiran, emosi, karektor serta kehidupan kita berbanding luka atau kesakitan fizikal. Cuba bayangkan ibu atau bapa yang kita sayangi yang sentiasa memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi tiba-tiba menemui Penciptanya akibat kemalangan atau sakit.
Hati kita pasti merasa hancur luluh, sedih, pilu, rindu, marah atau bingung bercampur aduk sehingga tidak dapat kita gambarkan dengan kata-kata. Bekalan asas kasih sayang, tunjuk ajar serta didikan yang sentiasa kita terima dan rindukan dari mereka tiba-tiba ternoktah. Hakikatnya sudah tiada lagi senyum tawa serta peluk cium yang sentiasa kita dahagakan dari seorang yang kita sayangi dan menyayangi kita sepenuh hati.
Bagaimana pula rasanya kehilangan anak, pasangan, kekasih disebabkan putus cinta atau perceraian? Seribu satu macam perasaan bermain dihati kita yang boleh menjadikan kita lemah, putus asa serta marah kepada takdir. Kita merasa kesal kerana tidak melakukan perkara yg sepatutnya kita lakukan semasa mereka masih bersama kita. Sengsaranya hidup kita hanya Tuhan yang tahu. Tapi mengapa ianya amat menyakitkan? Bagaimana ia terbentuk?
Perpisahan boleh berlaku dari pelbagai cara. Walaupun kita rasakan kehilangan orang tersayang disebabkan kematian adalah paling menyakitkan namun kajian menunjukkan kesengsaraan akibat putus cinta atau perceraian sebenarnya lebih memeritkan. Ini adalah kerana perceraian atau perpisahan masih melibatkan mereka yang masih hidup. Luka dihati masih boleh berdarah kembali, kesengsaraan masih boleh berpanjangan terutamanya apabila mereka perlu berhubungan diatas alasan kerja atau anak-anak.
Keperitan akibat sesuatu perpisahan itu sebenarnya terhasil dari awal apabila cinta dan sayang berputik. Apabila kita mula menyayangi seseorang, kita memerlukan balasan kasih sayang dari mereka. Apabila kita melalui detik suka atau duka dalam kehidupan, kita memerlukan orang yang kita sayangi untuk berkongsi perasaan tersebut.
Dengan terjadinya keadaan ini, kita secara tidak sedar sedang bergantung kepada perasaan kasih sayang pasangan kita. Kebergantungan cinta ini menjadi semakin kukuh apabila bekalan kasih sayang terus disalurkan kepada kita. Dari kebergantungan ini akan wujud satu bentuk sebatian perasaan cinta terhadap pasangan kita. Kita telah menjadikan pasangan kita separuh dari jiwa kita.
Transformasi in berlaku apabila kehendak kita untuk bercinta telah beralih kepada mendambakan cinta pasangan kita dan seterusnya bergantung dan menjadi sebati dengan cinta pasangan kita. Proses ini adalah normal kepada semua pasangan bercinta. Namun kadangkala kita mempercepatkan proses ini tanpa bukti yang kukuh bahawa pasangan kita benar-benar menyintai kita.
Keperitan yang kita alami akibat perpisahan ini berbeza bergantung kepada kuatnya kebergantungan cinta kita terhadap pasangan kita. Apabila perpisahan berlaku, kita merasakan sesuatu telah dirampas dan disentap dari diri kita. Sebagai contoh, apabila sesuatu yang kita pegang disentap oleh orang lain, kita akan secara reflektif menyentap kembali dan memegangnya dengan lebih erat. Ini adalah kerana kita merasakan ianya adalah milik kita. Tiada sesiapa yang sepatutnya merampas milik kita. Ini adalah suatu refleksi yang normal.
Namun dalam perhubungan cinta, implikasi terhadap sesuatu perpisahan adalah lebih hebat. Kita akan merasa kesengsaraannya, fikiran kita tersekat dan buntu. Kita cuba menidakkan apa yang berlaku. Kita mengharapkan ianya hanya sebuah mimpi ngeri. Namun kita harus menerima hakikatnya. Perpisahan itu sememangnya suatu realiti yang perlu kita hadapi. Pada peringkat ini kita akan mula merasai kepedihan dan kesengsaraan akibat kehilangan sesuatu yang telah sebati dengan perasaan dan kehidupan kita. Kita mula merasa kekosongan dalam jiwa kita. Hilang arah. Kebahagiaan yang kita kecapi selama ini hilang begitu sahaja. Kita merasakan Tuhan telah tidak berlaku adil kepada kita atau pasangan kita telah berlaku kejam terhadap kita dan pelbagai perasaan negatif yang bermain difikiran kita. Pada masa inilah kita sedari kita sebenarnya berada dalam kesakitan dan ianya amat memeritkan.
Bukan mudah untuk melepaskan orang yang kita sayangi lebih-lebih lagi jika ia telah menjadi separuh dari jiwa kita. Namun untuk mengetahui cara mengubati perasaan yang terluka, kita terlebih dahulu harus mengetahui dan memahami erti cinta, kasih sayang, kebergantungan cinta dan kesebatian cinta di hati kita.
No comments:
Post a Comment