Tuesday, July 27, 2010

Pengenalan

Salam buat Bloggers dan pengunjung. Terima kasih kerana mengunjungi blog Dr. Love.

Tujuan blog ini diwujudkan adalah khusus buat mereka yang sedang menghadapi kesengsaraan hati dan jiwa. Merasa kecewa, sedih atau dilema kerana perpisahan dengan orang yang tersayang disebabkan oleh kematian, perceraian atau putus cinta.

Kita tahu kesengsaraan yang dihadapi amat menyakitkan dan memenatkan jiwa kita dan ianya memberi kesan yang amat mendalam terhadap kehidupan serta personaliti kita. Pelbagai perkara negatif yang kita dengar hasil dari kekecewaan ini di mana manusia sanggup malangkaui batas pemikiran apabila mereka bertindak mencederakan diri mereka malah ada yang membunuh diri. Begitulah hebatnya keperitan yang ditanggung. Namun tindakan ini adalah ditegah oleh agama Islam dan semua jenis agama lain.

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi bimbingan psikologi dan petunjuk kepada mereka yang telah kehilangan arah dan tidak tahu bagaimana menangani dan mengubati hati yang terluka. Di samping bimbingan dari segi agama, kita tidak boleh mengabaikan kehendak psikologi sebagai manusia. Bimbingan psikologi ini adalah sebagai pedoman tambahan yang amat berguna bagi kita untuk mengenali hati dan diri kita sebagai manusia. Iannya terbukti berkesan bagi saya apabila saya sendiri telah mengalaminya dan telah sembuh sepenuhnya dari kesengsaraan itu.

Blog ini saya cipta bagi memenuhi minat yang mendalam saya terhadap kosultansi yang berkaitan dengan hati, perasaan, perhubungan lelaki dan wanita. Disebabkan oleh minat dan ilmu yang telah saya dapati, timbul kebolehan memberi khidmat nasihat serta kaunseling tentang bagaimana caranya menguruskan hati yang terluka ini. Disebabkan inilah beberapa rakan serta warga emas yang mempunyai masalah hubungan suami isteri mendapat khidmat nasihat saya apabila mereka menghadapi masalah perselisihan faham sehingga saya diber jolokan "Dr Love".

Kita tahu patah hati amat sukar untuk disembuhkan dan ianya memerlukan proses yang unik yang berkaitan perasaan dan emosi seseorang. Namun konsep penyembuhan ini boleh kita samakan seperti patah tangan. Apabila seseorang itu mengalami patah tangan, terdapat beberapa proses yang perlu dilaluinya sebelum tangan tersebut sembuh dan dapat digunakan kembali. Antara prosesnya ialah:-

1. Proses mendapatkan bantuan
2. Proses meluruskan tangan yang patah
3. Proses membalut, mengubati dan melindungi tangan tersebut.

Konsep ini juga dapat diaplikasikan kepada proses penyembuhan hati walaupun ianya lebih rumit, namun ianya amat berkesan terhadap psikologikal manusia. Ianya bukan sahaja dapat menyembuhkan, namun dapat menjadikan hati manusia menjadi lebih kuat dan kental menghadapi kekecewaan lain serta dapat merasai semula pengalaman mencintai dan dicintai. Terdapat 3 proses penyembuhan hati iaitu:-

1. Proses mendapatkan bantuan
2. Proses meratapi kehilangan
3. Proses mendapatkan kembali keyakinan diri sepenuhnya sebelum memulakan hubungan baru.

Mengubati hati yang terluka memerlukan banyak kesabaran dan usaha diri sendiri. Namun ramai yang tewas serta menggunakan pendekatan yang salah yang menjadikan mereka tidak dapat merasai perasaan cinta dan dicintai selepas itu. Perkara ini amat merugikan mereka kerana perasaan ini amat hebat untuk kita lupakan dalam kehidupan kita hanya disebabkan sesebuah hubungan yang gagal atau kematian.

Saya akan berkongsi segala pengetahuan saya di dalam bidang ini di dalam post-post saya yang seterusnya bagi membimbing serta memberi panduan kepada mereka yang berada didalam kegelapan. Saya berharap bimbingan ini dapat membantu para bloggers dan pengunjung menambah pengetahuan mereka. Saya juga mengalu-alukan sebarang komen atau permasalahan perhubungan yang mungkin dapat saya beri pandangan dan nasihat.

Insya Allah ianya sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk membuat keputusan dengan lebih baik.


Salam
Drloverazmatazz@gmail.com

No comments: